Managing Core Public Services (Ulasan Buku)





Tajuk Buku                 : Managing Core Public Services

Penulis                         : David McKevitt
Penerbit                       : Blackwell Publishers, Oxford
Tahun penerbitan    : 1998
Pengulas                     : Donald Godfrey Aloysius Gomez
     730406145651
     Perunding Latihan Kanan
     INTAN Kampus Sabah
Tarikh                           : 13 Jun 2018




Managing Core Public Services

Penghasilan buku ini adalah suatu usaha David McKevitt untuk meneliti dan mencadangkan pendekatan baru dalam mengurus perkhidmatan teras kerajaan supaya dapat ditingkatkan keberkesanan dan keefisienan perkhidmatan tersebut. Penyelidikan beliau menilai cara-cara bagaimana agensi-agensi yang menyampaikan perkhidmatan yang dianggap teras dapat diurus dengan lebih baik serta membincangkan reka bentuk struktur yang perlu diadakan bagi mendukung penyampaian perkhidmatan yang unggul. Di mana keunggulan penyampaian perkhidmatan tersebut diistilahkan sebagai suatu ‘social optimality’ atau optimum sosial kepada pencapaian yang diinginkan. Istilah perkhidmatan teras kerajaan atau ‘core government services’ adalah perkhidmatan kerajaan yang dikenalpasti mempunyai kepentingan kepada negara terutamanya dari segi keselamatan dan juga kemajuan kehidupan rakyat.  Namun, satu lagi faktor yang menjadi kaveat kepada definisi ‘perkhidmatan teras kerajaan’ adalah di mana perkhidmatan tersebut menampakkan ketidakupayaan sektor swasta dalam menampung keperluan-keperluan utama pelaksanaan perkhidmatan tersebut. Contoh yang paling ketara adalah dari segi keselamatan (tentera), kesihatan (hospital), pendidikan (sekolah) serta kebajikan masyarakat. Kajian tersebut telah dijalankan oleh McKevitt di lima buah negara iaitu Britain, New Zealand, Germany, Sweeden dan Ireland dengan melibatkan responden daripada kalangan penjawat awam serta pengurusan awam di negara-nergara tersebut.

McKevitt memulakan penghasilan kajian ini pada asalnya secara bergabung tenaga dengan penyelia PhD beliau iaitu Professor L. Wrigley. Kajian tersebut akhirnya disempurnakan di Department of Management and Marketing, University of Limerick. Intipati utama buku ini membincangkan tanggungjawab pengurus-pengurus perkhidmatan awam dalam mengurus keberkesanan serta kecekapan dalam tiga fungsi utama serta tiga proses utama. Tiga fungsi utama pengurus perkhidmatan awam adalah penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, pemantapan kebolehan perkhidmatan dan pengukuhan kewangan. Di samping itu, tiga proses utama pengurus awam adalah pengawalan, penyusunan dan perhubungan manusia.

Secara umumnya, pendekatan yang digunakan dalam buku ini berlandaskan kepada gerakan baru yang dinamakan “New Public Management” yang menjadi popular di negara-negara Barat sejak lewat 1980an. Negara-negara yang menerima-pakai penggunaan pendekatan ini adalah seperti negara Australia, New Zealand, Kanada United Kingdom dan Sweeden. Dalam perkara ini, McKevitt berbeza pendekatan daripada penulis sekolah klasik pentadbiran awam yang selalunya memfokus pada kakitangan bawahan ataupun pucuk pimpinan. Namun, McKevitt menyarankan agar pegawai pengurusan pertengahan yang perlu memainkan peranan yang lebih penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan mencapai tahap keberkesanan yang diinginkan.

Dalam membincangkan berkaitan ‘perkhidmatan teras kerajaan’, perspektif yang perlu didukung adalah melihat hubungan antara rakyat dan perkhidmatan kerajaan sebagai suatu tanggungjawab yang tidak boleh putus dan berlainan sekali dengan hubungan antara pelanggan dengan pihak swasta. Di mana, bagi pihak swasta kesetiaan pelanggan dipentingkan dan syarikat berusaha untuk memperolehi lebih banyak pelanggan yang setia melalui program berlandaskan pasaran dan program kesetiaan (‘loyalty programmes’). Namun, bagi pihak kerajaan, hubungan antara masyarakat sebagai pelanggan dengan perkhidmatan kerajaan yang digunakan tidak boleh putus dengan mengambil tanggapan bahawa masyarakat sebenarnya tiada peluang untuk memilih perkhidmatan lain. Contohnya, suatu sekolah awam yang bertujuan menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada rakyat perlu melaksanakan perkhidmatan tersebut tanpa sebarang pengecualian bersangkut dengan contohnya sikap atau kesetiaan rakyat kepada kerajaan. Walaupun, kemungkinan wujudnya sekolah swasta yang dianggap lebih mewah. Perkara sama juga ternampak apabila rakyat mengharapkan perkhidmatan polis. Perkhidmatan tersebut tidak boleh putus atas sebarang sebab seperti kesetiaan atau sikap disebabkan rakyat dianggap tiada peluang memilih perkhidmatan.

Isu menarik yang turut dibincangkan McKevitt adalah berkaitan Strategic Control of Core Public Services dalam bab kelima buku tersebut. Pengawasan sistem penyampaian perkhidmatan oleh pengurus perkhidmatan awam dilihat sebagai penting dalam membolehkan objektif dasar kerajaan diterbitkan dalam bentuk perkhidmatan yang boleh diukur (‘measureable’) dan boleh dipercayai (‘reliable’) oleh rakyat. Kawalan strategik dianggap penting dalam memastikan kejayaan mana-mana aktiviti organisasi. Ini disebabkan objektif dasar kementerian yang meluas perlu diterbitkan pula kepada perundangan dan pelbagai program. Ini termasuklah peraturan yang berkaitan dengan pengawasan penyampaian perkhidmatan. Dalam hal ini, New Zealand telah diambil sebagai contoh terbaik dalam melaksanakan penstrukturan semula pengawalan perkhidmatan awam yang dianggap radikal bagi negara-negara ‘ekonomi moden’. Di samping itu struktur organisasi perlu diperbahrukan serta perhubungan yang baru dan berkekalan perlu diwujudkan supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Secara kesimpulan saya ingin memetik kenyataan McKevitt yang bagi saya merumuskan kepentingan mempelajari strategi pengurusan perkhidmatan teras iaitu,
“Unless, however, service delivery is set within a strategic context, the reform programmes of the countries studied become simply a narrative of change rather than a structured scrutiny of purposeful public activity. Strategy provides a framework for analysis and supplies us with a comparative framework for the analysis of government activity.”

Secara amnya, buku ini disyorkan kepada pihak ‘middle managers’ serta pegawai yang terlibat dalam pengurusan yang ingin berusaha mencari penyelesaian kepada isu yang senantiasa dipersoalkan berkaitan keberkesanan dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan perkhidmatan awam terutamanya perkhidmatan teras dapat diurus dengan efisien.



Comments