Program eksekutif khas ahli parlimen dan adun negeri sabah (4.3.2019)

Pada 4 Mac 2019 yang lepas, INTAN Sabah telah melaksanakan suatu Program Eksekutif Khas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bertempat di Hilton Hotel Kota Kinabalu. Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia yang telah diadakan oleh INTAN Bukit Kiara pada 9 Disember 2018 di Marriot Hotel, Putrajaya.
Program Eksekutif Khas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di negeri Sabah dan telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Hj. Apdal, Ketua Menteri Sabah serta dihadiri oleh seramai 11 orang Ahli parlimen dan 32 orang ADUN Kerajaan Negeri Sabah. Turut hadir dalam program ini adalah YBhg Datuk Seri Borhan Bin Dolah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad, Pengarah INTAN, YBhg Tn. Nor Azeri Bin Zulfakar, Setiausaha Persekutuan Sabah dan YB Datuk Seri Panglima Hashim Bin Paijan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Objektif bagi program ini adalah seperti berikut: (i) Memahami konsep perlembagaan negara dan meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu fundamental perlembagaan  (ii)  Meningkatkan pengertian dan pemahaman mengenai konsep, prinsip dan panduan praktikal dalam struktur dan sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia (iii) Memahami perancangan bajet dan pengurusan Rancangan Malaysia Lima Tahun khasnya bagi pengurusan projek-projek kecil di negeri Sabah ; dan (iv) Memberi penjelasan dan pemahaman tentang peranan anggota pentadbiran ke arah tadbir urus yang baik (Good Governance) dalam pentadbiran.
Seramai empat (4) orang penceramah jemputan telah menyampaikan ceramah mengenai topik masing-masing semasa program tersebut seperti berikut:
i.              Sesi 1: Perlembagaan Negara – Isu Fundamental
YBhg Emeritus Prof.Datuk Dr.Shad Saleem Faruqi
Legal Advisor, Malaysian Professor of Law, Universiti Malaya
ii.            Sesi 2 : Struktur Kerajaan Malaysia dan Sistem Pentadbiran
YBhg. Dato ’ Ilani Binti Mohd Ibrahim
Penggubal Undang-Undang Parlimen Malaysia
iii.           Sesi 3 : Budgetary Planning - Rancangan Malaysia 5 Tahun Dan Projek- Projek Kecil Infrastruktur
YBhg. Dato’ Ruji Hj Ubi
Pegawai Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah
iv.           Sesi 4: The Role and Responsibilities of Pubic Administrators Towards Good Governance
YBrs. Tn. Hasbilah Mohamad Salleh
Timbalan Pengarah Operasi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Sabah

YAB Ketua Menteri Sabah menyambut baik penganjuran program seumpama ini dan semasa dalam ucapan perasmian beliau telah menekankan mengenai kepentingan amalan Good Governance kepada semua peserta yang hadir terutamanya dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa relevan dengan hasrat serta aspirasi rakyat. Selain itu, prinsip integriti dan akauntabiliti juga perlulah sentiasa dihayati dan diamalkan bagi memastikan Kerajaan terus mendapat keyakinan daripada rakyat terutamanya dalam era Malaysia Baharu ini. Tadbir urus yang baik memerlukan satu strategi jangka panjang yang bersepadu berlandaskan kerjasama kerajaan dan rakyat serta memerlukan penglibatan semua pihak sama ada individu mahupun institusi. Ianya tidak boleh dilakukan secara in-silo tanpa melibatkan semua pihak-pihak yang berkepentingan. Tanpa penglibatan semua pihak, ianya hanya akan kekal sebagai retorik semata-mata. The rule of law, akauntabiliti dan transparensi bukan hanya suatu keperluan teknikal dan perundangan, malahan ia saling berkait untuk melahirkan kerajaan yang sah, berkesan dan secara keseluruhannya diterima rakyat dan masyarakat umum yang bersikap terbuka dan berupaya untuk memainkan peranan positif dalam memastikan check and balance.






































Comments