Forum Pasca Bajet Negara 2020 Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Yang Berkualiti Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi - Suatu Analisis Semasa pada 15 Januari 2020

LAPORAN FORUM PASCA BAJET NEGARA 2020
Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi –SUATU Analisis Semasa

            Pembentangan Bajet 2020 telah disempurnakan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019 oleh YB Menteri Kewangan Malaysia dengan bertemakan Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Yang Berkualiti Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah dibentangkan dalam bajet ini adalah sebanyak RM297 Billion meliputi RM241 Billion untuk bajet mengurus dan RM56 Billion untuk bajet pembangunan.
            Bajet 2020 ini merupakan belanjawan yang bersifat komprehensif dengan mengutamakan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama sekaligus mencerminkan perancangan yang sistematik serta inklusif daripada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Penekanan utama kerajaan dalam Bajet 2020 ini adalah terhadap tanggungjawab dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan akan terus komited untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan berintegriti demi menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru itu, untuk memberikan kefahaman dan pendedahan yang lebih mendalam mengenai bajet yang telah dibentangkan, Unit Pengurusan Kewangan Bahagian Latihan INTAN Kampus Sabah telah melaksanakan satu forum Pasca Bajet Negara 2020 bertemakan Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi –SUATU Analisis Semasa pada 15 Januari 2020 yang lalu. Program ini telah dihadiri oleh seramai 226 orang penjawat awam yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan jabatan persekutuan dan negeri termasuk badan-badan berkanun di Negeri Sabah.
Seramai empat (4) orang panellist dan seorang moderator telah terlibat menjayakan forum tersebut seperti berikut:
i.              Prof .Emeritus Dr.Barjoyai Bardai
Penganalisis Ekonomi

ii.            En. Mohammad Reezal Bin Ahmad
Timbalan Setiausaha Bahagian
Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun
Kementerian Kewangan Malaysia

iii.           Prof. Dr. Jamal Othman
Senior Fellow Malaysian Institut of Economic Research (MIER)

iv.           Dr. Firdausi Suffian
Timbalan Rektor
UITM Sabah

v.            Dr. Paramanathan Sandran
Timbalan Ketua Kluster (KEKA)
INTAN Bukit Kiara

Panel yang pertama iaitu Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dalam perkongsiannya telah membangkitkan beberapa isu penting seperti sumber pendapatan kerajaan, limitasi dalam sistem percukaian negara, masalah struktur ekonomi negara dan juga cadangan bagi membaikpulih ekonomi negara.

            Seterusnya, panel kedua iaitu En. Mohammad Reezal bin Ahmad telah menyentuh beberapa ‘touchpoints’ dan strategi yang terkandung dalam bajet 2020. Terdapat beberapa perkara menarik yang disampaikan seperti Kumpulan Sasaran bagi belanjawan 2020 dan juga Program Khas Pekerjaan #MalaysiaKerja. Belanjawan 2020 telah menetapkan 9 kumpulan yang bakal menerima manfaat. Program Khas Pekerjaan adalah program untuk mengurangkan kadar pengangguran, menarik masuk pelabur asing dan juga mengurangkan bilangan pekerja asing di dalam pasaran kerja terkini

            Panel ketiga iaitu Professor Dr. Jamal Othman telah menyentuh berkaitan Wawasan Bebajikan Bersama 2030 (WKB) dan kaitannya dalam Bajet 2020. Untuk mencapai WKB 2030, golongan kemiskinan mutlak hendaklah ditangani bagi mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi sosial dan kehidupan. Beliau juga menekankan tentang isu mengenai jurang pendapatan yang disebabkan oleh pengagihan pendapatan yang tidak seimbang.

            Panel terakhir iaitu Dr. Firdausi Sufian telah menyentuh beberapa isu utama yang berkait rapat dengan Negeri Sabah seperti pengangguran, pembangunan tidak sekata, dan jurang pendapatan berserta strategi dalam Bajet 2020. Di akhir penyampaiannya Dr. Firdausi Sufian mencadangkan agar kerajaan memfokuskan untuk memperkukuhkan serta mewujudkan lebih banyak industry hiliran (Downstream Industry) terutamanya di Negeri Sabah kerana hanya dengan cara ini akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di Sabah dan mengurangkan kadar kemiskinan.

            Pada penghujung forum, sesi soal jawab telah dibuka kepada semua hadirin dan banyak soalan yang berkait dengan isu bajet serta keadaan semasa kewangan negara telah diutarakan. Para penalist telah memberikan saranan agar semua penjawat awam perlu yakin dengan tindakan serta keputusan yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan segala perancangan yang dibuat dapat dicapai sekaligus memperbaiki keadaan semasa ekonomi dan kewangan negara. Disebalik masalah hutang yang wujud, keadaan fiskal kewangan negara masih berada di tahap yang terkawal. Oleh itu, peranan semua penjawat awam amatlah penting dalam memastikan semua perancangan yang dibuat dilaksanakan demai memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terus diberikan dan tidak terjejas.


Comments